Bekas pemain skuad kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman bakal menjalani sesi pemilihan bersama Sabah bagi mendapatkan tempat dalam pasukan itu musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh Rozaimi menerusi laman media sosial rasmi Facebook miliknya dimana pemain itu menjadikan sesi pemilihan bersama Sabah sebagai keutamaan baginya pada musim hadapan.

“Saya akan jalani sesi pemilihan bersama Sabah FC kelak. Jika tidak terpilih sekalipun tidak mengapa mungkin bukan rezeki saya.”

“Kita cuba dulu, kalau dapat akan bermain bersama Sabah, jika tidak, saya akan ke semenanjung,” kata Rozaimi.

Musim ini, Rozaimi Abdul Rahman beraksi bersama Kedah Darul Aman namun pada bulan Ogos lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak.

“KDA FC telah mencapai persetujuan bersama Rozaimi Abdul Rahman untuk menamatkan kontrak pemain lebih awal selepas lapan bulan bersama pasukan Liga Super KDA FC.

“Penamatan kontrak ini adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi peluang tempoh dua bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadinya sebelum beliau memutuskan haluan kerjaya bola sepaknya.

“Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih di bahagian serangan.

“Terima kasih dan selamat maju jaya dalam kerjaya bola sepak di masa hadapan!,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Penampilan terakhir Rozaimi bersama Kedah ialah ketika beliau membantu pasukan itu meraih kemenangan ke atas Melaka United pada 30 April lalu dalam saingan Liga Super.

Pemain berusia 29 tahun itu beraksi bersama Sabah selama lima tahun sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2016.

Setelah beraksi bersama JDT selama 4 musim, Rozaimi memilih untuk berhijrah dengan menyertai Kedah pada awal musim 2021 namun beliau hanya bertahan selama 8 bulan bersama kelab dari utara tanah air itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Tidak Sengaja Pijak Kaki Amri, Syamim Yahya Mohon Maaf

Pemuda PAS Mohon Maaf Kepada TMJ Kerana Sikap Nakal Sanusi

Piala Suzuki AFF 2020: Malaysia Hanya Bawa 24 Pemain Ke Singapura